Cara Semakan Wang Tak Dituntut 2026 (eGUMIS JANM)

Adakah anda pernah terfikir bahawa mungkin ada wang yang masih atas nama anda tetapi belum dituntut? Di sini kami kongsikan cara untuk membuat semakan wang tak dituntut (WTD) 2026 secara dalam talian melalui portal rasmi eGUMIS Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM).

Wang Tak Dituntut (WTD) ialah wang milik individu atau syarikat yang tidak dituntut oleh pemiliknya dalam tempoh melebihi tujuh tahun. Wang ini termasuk baki akaun bank tidak aktif, dividen, gaji tertunggak, tuntutan insurans, deposit dan bank draf yang tidak diambil. Setakat Januari 2026, jumlah WTD yang masih belum dituntut oleh pemilik atau waris di Malaysia mencecah RM13.3 bilion. Pada artikel kali ini, kami kongsikan cara semakan dan tuntutan WTD 2026 melalui dua cara rasmi yang boleh dibuat secara percuma.

Cara Semakan Wang Tak Dituntut 2026 Melalui Portal eGUMIS

Semakan WTD boleh dilakukan terus melalui portal rasmi eGUMIS tanpa perlu log masuk. Caranya adalah seperti berikut:

  1. Layari portal rasmi eGUMIS di https://egumis.anm.gov.my
  2. Klik pada ruangan “Klik Di Sini Untuk Carian Wang Tak Dituntut”.
  3. Masukkan nombor Kad Pengenalan (untuk individu) atau nombor pendaftaran syarikat (untuk syarikat atau firma).
  4. Klik butang Semak untuk melihat hasil carian.
  5. Bilangan rekod WTD yang dijumpai akan dipaparkan pada skrin.

Nota: Semakan melalui portal eGUMIS adalah PERCUMA. Sekiranya anda mendapati terdapat rekod WTD atas nama anda, teruskan ke langkah membuat tuntutan.

Cara Semakan Wang Tak Dituntut 2026 Melalui Aplikasi MyGOV

Selain portal eGUMIS, semakan WTD juga boleh dilakukan melalui aplikasi mudah alih MyGOV Malaysia. Caranya adalah seperti berikut:

  1. Muat turun aplikasi MyGOV Malaysia melalui Google Play Store atau Apple App Store.
  2. Daftar akaun baharu atau log masuk sekiranya sudah mempunyai akaun.
  3. Skrol ke bawah dan pilih menu Bantuan & Kewangan.
  4. Klik Semakan Wang Tak Dituntut (WTD).
  5. Masukkan nombor Kad Pengenalan dan klik Semak.
  6. Bilangan rekod WTD yang dijumpai akan dipaparkan.

Nota: Semakan melalui aplikasi MyGOV hanya menunjukkan bilangan rekod WTD sahaja. Untuk membuat tuntutan, anda perlu meneruskan proses melalui portal eGUMIS.

Cara Membuat Tuntutan Wang Tak Dituntut 2026

Sekiranya terdapat rekod WTD atas nama anda, tuntutan boleh dibuat secara dalam talian melalui portal eGUMIS. Caranya adalah seperti berikut:

  1. Layari portal eGUMIS di https://egumis.anm.gov.my dan daftar akaun baharu sekiranya belum mempunyai akaun.
  2. Log masuk menggunakan ID dan kata laluan yang telah didaftarkan.
  3. Buat semakan WTD menggunakan nombor Kad Pengenalan.
  4. Klik pada rekod WTD yang ingin dituntut dan pilih Teruskan Dengan Permohonan.
  5. Klik Tambah Penerima untuk masukkan maklumat penerima WTD.
  6. Muat naik dokumen sokongan yang diperlukan.
  7. Semak semua maklumat dan hantar permohonan.

Setelah permohonan yang lengkap diterima dan disahkan, wang akan dikreditkan ke akaun bank yang dinyatakan dalam borang tuntutan dalam tempoh lebih kurang satu hingga tiga bulan.

Dokumen Yang Diperlukan Untuk Tuntutan WTD

Dokumen yang perlu disediakan bergantung kepada jenis pemohon:

Pemilik Asal (Individu):

  1. Salinan Kad Pengenalan.
  2. Dokumen sokongan berkaitan asal usul WTD seperti penyata akaun bank, slip dividen atau polisi insurans.
  3. Maklumat akaun bank semasa untuk tujuan pengkreditan.

Waris (Sekiranya Pemilik Telah Meninggal Dunia):

  1. Sijil kematian pemilik asal.
  2. Salinan Kad Pengenalan waris.
  3. Surat Kuasa Pentadbiran Harta Pusaka atau Perintah Faraid.
  4. Dokumen sokongan berkaitan asal usul WTD.

Perkara Penting Berkaitan Wang Tak Dituntut

Berikut adalah beberapa perkara penting yang perlu diketahui berkaitan WTD:

  1. Semakan dan tuntutan adalah PERCUMA — JANM tidak mengenakan sebarang caj untuk semakan atau tuntutan WTD.
  2. Tiada tarikh luput — WTD boleh dituntut pada bila-bila masa tanpa had masa oleh pemilik atau waris yang sah.
  3. Tiada faedah dibayar — Amaun bayaran balik adalah berdasarkan amaun asal dalam rekod WTD tanpa sebarang faedah.
  4. Berhati-hati dengan penipuan — JANM tidak pernah melantik mana-mana individu atau syarikat sebagai ejen untuk menguruskan tuntutan WTD. Jangan bayar komisen kepada mana-mana pihak kerana urusan ini boleh dibuat sendiri secara percuma.

Untuk pertanyaan lanjut, hubungi Jabatan Akauntan Negara Malaysia di talian 03-8000 8600 atau emel ke tuntutan.bwtd@anm.gov.my.

Semoga dengan artikel semakan wang tak dituntut 2026 ini dapat membantu anda untuk mengetahui sama ada terdapat wang yang masih atas nama anda dan membuat tuntutan dengan mudah dan selamat.

Artikel lain: