Adakah anda ingin mengetahui tentang Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026–2035 dan apakah perubahan yang bakal berlaku kepada sistem pendidikan negara? Di sini kami kongsikan penjelasan lengkap tentang RPM 2026–2035 termasuk visi, misi, tujuh teras strategik, perubahan utama dan impaknya kepada pelajar, ibu bapa dan guru di Malaysia.
Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026–2035 diperkenalkan sebagai pelan reformasi pendidikan nasional jangka panjang yang bertujuan membina semula sistem pendidikan negara secara lebih adil, tersusun dan berdaya saing. Pelan ini merangkumi tempoh 10 tahun dan menjadi asas utama hala tuju pendidikan Malaysia bermula tahun 2026.
Apa Itu RPM 2026–2035?
Majlis Peluncuran Rancangan Pendidikan Negara 2026–2035 bertemakan “Memacu Lonjakan Pendidikan Negara” telah disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri, bertempat di Dewan Perdana, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 20 Januari 2026.
RPM 2026–2035 dan Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035 bersama-sama membentuk Rancangan Pendidikan Negara (RPN), kerangka pendidikan nasional Malaysia untuk dekad akan datang.
RPM 2026–2035 di bawah KPM digubal sebagai intervensi strategik pasca-pandemik bagi memperkukuh daya tahan sistem pendidikan dan melahirkan modal insan kompetitif di peringkat global.
Visi, Misi dan Matlamat RPM 2026–2035
Visi RPM ialah: Pendidikan Bermutu, Insan Terdidik, Negara Sejahtera. Misi: Melestarikan sistem yang bermutu untuk membangunkan potensi individu bagi memenuhi aspirasi negara. Matlamat: Melahirkan insan sejahtera yang beradab, berilmu, berkemahiran, berdaya tahan dan berkeyakinan yang berteraskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
Tumpuan RPM 2026–2035 adalah Mutu, Akses dan Ekuiti, Ketersediaan Sumber dan Kecekapan, Keluwesan dan Kemampanan.
7 Teras Strategik RPM 2026–2035
Berikut ialah tujuh teras strategik Rancangan Pendidikan Malaysia 2026–2035 yang menjadi tunjang kepada reformasi pendidikan di Malaysia:
| Teras | Fokus Utama |
|---|---|
| Teras 1 | Memastikan sistem pendidikan Malaysia yang terangkum, dinamik dan relevan |
| Teras 2 | Mengoptimumkan potensi murid melalui pengalaman pembelajaran bermakna untuk warganegara global |
| Teras 3 | Mentransformasikan pendidik agar berkeupayaan tinggi dan berorientasikan masa depan |
| Teras 4 | Memantapkan prasarana fizikal dan digital di semua institusi pendidikan KPM |
| Teras 5 | Mempergiat sinergi antara institusi pendidikan KPM dengan pihak berkepentingan |
| Teras 6 | Membudayakan kemampanan dalam ekosistem pendidikan |
| Teras 7 | Meningkatkan kecekapan tadbir urus dan sistem penyampaian |
Perubahan Utama RPM 2026–2035 Yang Perlu Diketahui
1. Pengukuran Pembelajaran Berpusat (MPT4 dan MPTg3)
RPM memperkenalkan pengukuran pembelajaran secara berpusat bagi memastikan tahap pencapaian murid dinilai secara lebih konsisten dan setara di seluruh negara. Bagi Tahun 4, pelaksanaan akan bermula pada tahun 2026 melibatkan mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains. Sementara itu, bagi Tingkatan 3, pengukuran pembelajaran berpusat akan bermula pada tahun 2027 dan melibatkan Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains serta Sejarah.
| Peringkat | Tahun Pelaksanaan | Mata Pelajaran |
|---|---|---|
| Tahun 4 (MPT4) | 2026 | BM, BI, Matematik, Sains |
| Tingkatan 3 (MPTg3) | 2027 | BM, BI, Matematik, Sains, Sejarah |
2. Bahasa Melayu dan Sejarah Wajib Untuk Semua Warganegara
RPM turut menetapkan bahawa Bahasa Melayu dan Sejarah adalah mata pelajaran wajib kepada semua anak warganegara Malaysia mengikut kurikulum kebangsaan. Kewajipan pengambilan Bahasa Melayu dan Sejarah ini bukan hanya terhad kepada sekolah kerajaan, malah terpakai kepada semua institusi pendidikan termasuk Sekolah Agama Rakyat, Sekolah Persendirian dan Sekolah Antarabangsa.
3. Penyelarasan Umur Kemasukan Tahun 1 Mulai 2027
Kerajaan turut menetapkan penyelarasan umur kemasukan ke Tahun 1 kepada 6 tahun (5+) bermula tahun 2027, tertakluk kepada kesiapsiagaan pelaksanaan di peringkat nasional. Penetapan ini dibuat bagi memastikan kanak-kanak mempunyai tahap perkembangan yang lebih matang sebelum memasuki alam persekolahan formal.
4. Peruntukan RM100 Juta Naik Taraf Bilik Guru
Kerajaan memperuntukkan RM100 juta khusus bagi menaik taraf bilik guru di sekolah-sekolah terlibat. Melalui peruntukan ini, setiap sekolah menerima RM100,000 bagi memastikan bilik guru dijadikan ruang kerja yang lebih selesa, tersusun dan kondusif.
5. Laluan TVET Sejak Sekolah Rendah
Melalui Kurikulum Persekolahan 2027, elemen TVET akan diperkenalkan kepada murid bermula Tahun 1 hingga Tahun 6, sebelum diperkukuh di peringkat menengah rendah. Pendekatan ini bertujuan memberi pendedahan awal kepada kemahiran praktikal, minat kerjaya serta pembelajaran berasaskan aplikasi sebenar.
6. Peningkatan Mutu Sekolah Kebangsaan
Kerajaan menetapkan sasaran supaya lima sekolah kebangsaan di setiap Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) mencapai tahap Sekolah Inspirasi di bawah pelaksanaan Reformasi Sekolah.
Sasaran Wajib Capai RPM 2026–2035
RPM 2026–2035 menyasar pencapaian 90% merentasi tiga tumpuan utama iaitu Meningkatkan Mutu, Merapatkan Jurang, dan tumpuan Ekuiti, Keluwesan dan Kemampanan.
Antara sasaran utama yang ditetapkan:
- Murid mencapai sekurang-kurangnya gred C bagi Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sejarah
- Semua murid mencapai tahap sosioemosi sejahtera dan adab yang baik
- Semua murid menguasai kemahiran dwibahasa iaitu Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris
- Semua murid menguasai literasi dan numerasi pada akhir Tahap 1
- 90 peratus murid Tahap 2 hingga Tingkatan 5 mencapai tahap kesihatan fizikal cergas dalam ujian SEGAK
- Malaysia mencapai skor purata yang setara dengan standard pentaksiran antarabangsa
Muat Turun Dokumen Penuh RPM 2026–2035
Dokumen penuh Rancangan Pendidikan Malaysia 2026–2035 boleh dimuat turun secara percuma melalui portal rasmi Kementerian Pendidikan Malaysia:
Semoga dengan artikel Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026–2035 ini dapat membantu anda memahami hala tuju sistem pendidikan negara dan persiapan yang perlu dilakukan oleh pelajar, ibu bapa dan warga pendidik menghadapi perubahan yang bakal berlaku.
Artikel lain: