Adakah anda seorang ibu bapa atau guru yang ingin mengetahui format soalan dan cara mempersiapkan anak untuk kertas Bahasa Melayu MPT4 2026? Di sini kami kongsikan maklumat lengkap tentang format pentaksiran Bahasa Melayu MPT4, struktur soalan mengikut bahagian, aras kesukaran, kemahiran yang dinilai dan contoh soalan berdasarkan maklumat rasmi dari Lembaga Peperiksaan Malaysia.
Pentaksiran Bahasa Melayu bagi Matriks Pembelajaran Tahun 4 (MPT4) dilaksanakan dalam bentuk ujian bertulis yang merangkumi aspek pemahaman dan penulisan. Item yang digunakan terdiri daripada Objektif Aneka Pilihan (OAP), Objektif Pelbagai Bentuk (OPB), Subjektif Respons Terhad (SRTh) dan Subjektif Respons Terbuka (SRTb).
Maklumat Asas Kertas Bahasa Melayu MPT4
| Perkara | Maklumat |
|---|---|
| Tarikh | 6 Oktober 2026 (Selasa) |
| Masa | 8.10 pagi – 9.25 pagi |
| Tempoh | 1 jam 15 minit |
| Jumlah Markah | 50 markah |
| Jenis Item | OAP, OPB, SRTh, SRTb |
Struktur Soalan Bahasa Melayu MPT4 (4 Bahagian)
Bahagian A meliputi Tatabahasa dan Pemahaman petikan iaitu teks tunggal dan teks pelbagai. Bahagian B meliputi Pemahaman petikan dan tatabahasa serta Respons kritis dan kreatif. Bahagian C meliputi Penulisan perenggan. Bahagian D meliputi Penulisan karangan.
| Bahagian | Kandungan |
|---|---|
| Bahagian A | Tatabahasa dan Pemahaman Petikan (Teks Tunggal dan Teks Pelbagai) |
| Bahagian B | Pemahaman Petikan dan Tatabahasa serta Respons Kritis dan Kreatif |
| Bahagian C | Penulisan Perenggan |
| Bahagian D | Penulisan Karangan |
Kemahiran Yang Dinilai Dalam Bahasa Melayu MPT4
Pentaksiran ini menilai pelbagai konstruk seperti pengetahuan sistem bahasa, kemahiran membaca iaitu memahami, mengaplikasi dan menganalisis, kemahiran menulis iaitu mengaplikasi, menganalisis, menilai dan mencipta, serta nilai.
Skop Kandungan Soalan
Soalan yang diuji mencakupi Standard Kandungan (SK) dan Standard Pembelajaran (SP) dalam DSKP KSSR Bahasa Melayu Tahun 1 hingga Tahun 4.
Ini bermakna soalan MPT4 Bahasa Melayu bukan hanya menguji apa yang dipelajari di Tahun 4 sahaja, tetapi merangkumi keseluruhan pembelajaran dari Tahun 1 hingga Tahun 4. Ibu bapa dan guru perlu memastikan murid menguasai asas bahasa Melayu dari awal persekolahan.
Aras Kesukaran Soalan
Aras kesukaran soalan ditetapkan pada nisbah Rendah 50%, Sederhana 30% dan Tinggi 20%.
Ini bermakna separuh daripada soalan adalah pada aras mudah, bertujuan memastikan semua murid dapat menjawab soalan asas dengan baik. Soalan yang lebih mencabar hanya terdiri daripada 20% sahaja.
Kaedah Penskoran
Kaedah penskoran yang digunakan ialah Dikotomus, Analitikal dan Holistik.
- Dikotomus — Jawapan betul atau salah, biasanya untuk soalan objektif
- Analitikal — Markah diberikan mengikut setiap kriteria jawapan yang dipenuhi
- Holistik — Markah keseluruhan berdasarkan kualiti jawapan secara menyeluruh
Contoh Soalan Bahasa Melayu MPT4
Contoh item Bahasa Melayu MPT4 yang dikeluarkan secara rasmi oleh Lembaga Peperiksaan boleh dirujuk melalui pautan berikut:
Tips Persediaan Bahasa Melayu MPT4 Untuk Ibu Bapa
Berdasarkan format dan skop soalan MPT4 Bahasa Melayu yang telah dimaklumkan, berikut adalah tips persediaan yang boleh dilakukan bersama anak di rumah:
1. Kuasai Asas Tatabahasa
Bahagian A menguji tatabahasa secara langsung. Pastikan anak menguasai jenis-jenis kata, ayat tunggal, ayat majmuk, imbuhan, kata sendi nama dan penjodoh bilangan yang dipelajari dari Tahun 1 hingga Tahun 4.
2. Latih Kemahiran Membaca dan Memahami
Bahagian A dan B menguji pemahaman petikan. Biasakan anak membaca petikan pelbagai genre seperti cerita, rencana, laporan dan puisi, kemudian jawab soalan berkaitan.
3. Amalkan Penulisan Perenggan
Bahagian C memerlukan murid menulis perenggan yang lengkap dan berstruktur. Latih anak menulis perenggan dengan ayat topik, isi dan penutup yang jelas.
4. Berlatih Menulis Karangan Pendek
Bahagian D menguji penulisan karangan. Galakkan anak menulis karangan pendek berdasarkan tajuk yang mudah dan berkaitan pengalaman harian mereka.
5. Ulang Kaji Dari Tahun 1 Hingga Tahun 4
Soalan MPT4 merangkumi skop dari Tahun 1 hingga Tahun 4. Pastikan anak tidak mengabaikan topik yang dipelajari di tahun-tahun awal persekolahan.
Soalan Lazim Ibu Bapa Tentang BM MPT4
Adakah MPT4 Bahasa Melayu sukar?
MPT4 dilaksanakan secara berpusat namun bukan sistem peperiksaan berisiko tinggi. Pelaksanaan MPT4 tidak memberi tekanan, sebaliknya membuka peluang untuk mengenal pasti ruang tambah baik bagi meningkatkan pencapaian murid. Dengan 50% soalan pada aras rendah, kebanyakan murid sepatutnya dapat menjawab separuh soalan dengan baik.
Apakah yang berlaku selepas MPT4?
Keputusan MPT4 tidak digunakan untuk meranking murid atau menentukan kemasukan ke mana-mana sekolah. Sebaliknya, keputusan digunakan oleh guru untuk merancang intervensi bagi membantu murid yang memerlukan sokongan tambahan semasa Tahun 5 dan Tahun 6.
Adakah anak perlu belajar topik baru untuk MPT4?
Tidak. Semua soalan MPT4 adalah berdasarkan apa yang telah dipelajari dari Tahun 1 hingga Tahun 4. Tiada topik baharu yang perlu dipelajari khas untuk MPT4.
Semoga dengan artikel contoh soalan MPT4 Bahasa Melayu 2026 ini dapat membantu ibu bapa dan guru memahami format pentaksiran dengan lebih jelas dan mempersiapkan murid Tahun 4 dengan lebih yakin dan bersedia.
Artikel lain: