Adakah anda ingin mengetahui definisi nombor perdana beserta senarai lengkap dan cara mengenal pastinya? Di sini kami kongsikan panduan lengkap berkaitan nombor perdana termasuk senarai nombor perdana dari 1 hingga 100 dan kaedah mudah untuk mengenal pasti nombor perdana.
Nombor perdana ialah nombor semula jadi yang lebih besar daripada 1 dan hanya boleh dibahagi tepat dengan dua nombor sahaja iaitu 1 dan dirinya sendiri. Konsep nombor perdana dipelajari dalam mata pelajaran Matematik bermula dari sekolah rendah hingga sekolah menengah dan sering muncul dalam soalan peperiksaan. Pada artikel kali ini, kami kongsikan definisi, senarai dan cara mengenal pasti nombor perdana dengan mudah.
Ciri-Ciri Nombor Perdana
Berikut adalah ciri-ciri utama nombor perdana yang perlu diketahui:
- Mempunyai tepat dua pembahagi sahaja iaitu 1 dan nombor itu sendiri.
- Nilainya lebih besar daripada 1. Nombor 1 bukan nombor perdana kerana ia hanya mempunyai satu pembahagi sahaja.
- Nombor 2 adalah satu-satunya nombor perdana yang genap. Semua nombor perdana lain adalah nombor ganjil.
- Tidak boleh dibahagi dengan mana-mana nombor lain tanpa menghasilkan baki.
Nota penting: Nombor 1 BUKAN nombor perdana. Ini adalah kesilapan lazim yang sering dilakukan oleh pelajar.
Senarai Nombor Perdana 1 hingga 100
Terdapat sebanyak 25 nombor perdana dalam julat 1 hingga 100. Berikut adalah senarai lengkapnya:
2, 3, 5, 7, 11, 13, 17, 19, 23, 29, 31, 37, 41, 43, 47, 53, 59, 61, 67, 71, 73, 79, 83, 89, 97
Cara mudah untuk mengingati senarai ini — nombor perdana yang kurang daripada 10 hanyalah empat nombor iaitu 2, 3, 5 dan 7.
Cara Mengenal Pasti Nombor Perdana
Terdapat dua kaedah utama untuk mengenal pasti nombor perdana:
Kaedah 1: Kaedah Pembahagian Asas
Kaedah ini sesuai digunakan untuk menentukan sama ada satu nombor tertentu adalah nombor perdana atau tidak. Caranya adalah seperti berikut:
- Pastikan nombor tersebut lebih besar daripada 1.
- Cuba bahagikan nombor tersebut dengan nombor 2, 3, 5, 7 dan seterusnya sehingga punca kuasa dua nombor tersebut.
- Sekiranya tiada nombor yang membahagikannya dengan tepat selain 1 dan dirinya sendiri, maka ia adalah nombor perdana.
- Sekiranya nombor tersebut boleh dibahagi tepat dengan mana-mana nombor lain, maka ia bukan nombor perdana.
Contoh — tentukan sama ada 13 adalah nombor perdana:
- 13 ÷ 2 = 6 berbaki 1 (tidak boleh dibahagi tepat)
- 13 ÷ 3 = 4 berbaki 1 (tidak boleh dibahagi tepat)
- Punca kuasa dua 13 ≈ 3.6, maka pengujian berhenti di sini.
- Oleh itu, 13 adalah nombor perdana.
Contoh — tentukan sama ada 22 adalah nombor perdana:
- 22 ÷ 2 = 11 (boleh dibahagi tepat)
- Oleh itu, 22 bukan nombor perdana kerana ia boleh dibahagi dengan 2.
Kaedah 2: Saringan Eratosthenes
Kaedah ini sesuai digunakan untuk mencari semua nombor perdana dalam satu julat tertentu. Ia diperkenalkan oleh ahli matematik Yunani bernama Eratosthenes. Caranya adalah seperti berikut:
- Tulis senarai nombor bermula dari 2 hingga nombor yang dikehendaki.
- Mulakan dengan nombor 2 dan padamkan semua gandaan 2 (4, 6, 8, 10…).
- Ambil nombor seterusnya yang belum dipadamkan iaitu 3, kemudian padamkan semua gandaan 3 (6, 9, 12…).
- Ulang proses ini dengan nombor seterusnya yang belum dipadamkan.
- Nombor yang tinggal dan tidak dipadamkan adalah nombor perdana.
Faktor Perdana
Faktor perdana ialah nombor perdana yang merupakan faktor kepada sesebuah nombor. Terdapat tiga kaedah untuk mencari faktor perdana sesuatu nombor:
Kaedah 1 — Senaraikan semua faktor:
Contoh: Cari faktor perdana bagi 100.
- Faktor bagi 100 adalah 1, 2, 4, 5, 10, 20, 25, 50 dan 100.
- Antara semua faktor tersebut, 2 dan 5 adalah nombor perdana.
- Oleh itu, faktor perdana bagi 100 adalah 2 dan 5.
Kaedah 2 — Pembahagian berulang (Algoritma):
Bahagikan nombor berulang kali dengan nombor perdana terkecil yang boleh membahagikannya dengan tepat sehingga hasilnya adalah 1.
Kaedah 3 — Gambarajah Pokok Faktor:
Pecahkan nombor kepada dua faktor, kemudian teruskan memecahkan setiap faktor sehingga semua faktor adalah nombor perdana.
Perbezaan Nombor Perdana dan Nombor Komposit
Berikut adalah perbezaan antara nombor perdana dan nombor komposit:
- Nombor Perdana — mempunyai tepat dua pembahagi sahaja (1 dan dirinya sendiri). Contoh: 2, 3, 5, 7, 11.
- Nombor Komposit — mempunyai lebih daripada dua pembahagi. Contoh: 4 (pembahagi: 1, 2, 4), 6 (pembahagi: 1, 2, 3, 6).
- Nombor 1 — bukan nombor perdana dan bukan nombor komposit kerana ia hanya mempunyai satu pembahagi sahaja.
Semoga dengan artikel nombor perdana ini dapat membantu anda untuk memahami konsep, senarai dan cara mengenal pasti nombor perdana dalam mata pelajaran Matematik dengan lebih tepat dan jelas.
Artikel lain: