Cara Tebus Baucar Buku MADANI 2026

Adakah anda seorang pelajar sekolah menengah atau mahasiswa IPT yang ingin mengetahui cara untuk menebus Baucar Buku MADANI 2026 bernilai RM100? Di sini kami kongsikan panduan lengkap cara menebus Baucar Buku MADANI 2026 mengikut kategori pelajar beserta syarat kelayakan dan tarikh penting.

Baucar Buku MADANI 2026 adalah inisiatif Kerajaan MADANI melalui Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang memberikan e-baucar buku bernilai RM100 kepada pelajar sekolah menengah dan mahasiswa IPT yang layak. Penebusan dibuat secara dalam talian sepenuhnya tanpa perlu hadir ke mana-mana kaunter fizikal. Pada artikel kali ini, kami kongsikan cara menebus Baucar Buku MADANI 2026 mengikut dua kategori pelajar iaitu pelajar sekolah menengah dan mahasiswa IPT.

Syarat Kelayakan Baucar Buku MADANI 2026

Berikut adalah syarat kelayakan untuk menerima Baucar Buku MADANI 2026:

  1. Pelajar Sekolah Menengah — pelajar Tingkatan 1 hingga Tingkatan 6, Matrikulasi dan Institut Pendidikan Guru (IPG) di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Pelajar tidak perlu membuat sebarang permohonan kerana penerima akan dikenal pasti secara automatik berdasarkan data rasmi KPM.
  2. Mahasiswa IPT — pelajar yang sedang melanjutkan pengajian secara sepenuh masa atau separuh masa di Universiti Awam (UA), Politeknik, Kolej Komuniti dan IPTS di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan berstatus aktif.
  3. Pelajar Malaysia yang menuntut di Malaysia sahaja.
  4. Pelajar yang sedang dalam tempoh tangguh pengajian tidak layak menerima baucar ini.

Nota: Baucar Buku MADANI (RM100) adalah berbeza daripada Baucar Buku eKasih (RM300). Baucar Buku eKasih adalah khusus untuk penerima yang berdaftar dalam sistem eKasih sahaja.

Cara Tebus Baucar Buku MADANI 2026 (Pelajar Sekolah Menengah & IPG)

Pelajar sekolah menengah menebus baucar melalui platform Book Capital yang disepadukan dengan portal DELIMa. Caranya adalah seperti berikut:

  1. Layari portal rasmi Book Capital DELIMa di https://delima.bookcapital.com.my atau terus login ke DELIMa di https://d2.delima.edu.my
  2. Klik butang Tebus Baucar dan log masuk menggunakan ID dan kata laluan DELIMa pelajar.
  3. Akaun akan diaktifkan secara automatik melalui Single Sign-On (SSO).
  4. Kredit baucar RM100 akan dipaparkan pada papan pemuka akaun pelajar.
  5. Pilih sekurang-kurangnya satu (1) buku daripada kategori Judul Khas Baucar Buku MADANI 2026 yang merangkumi bidang Karya Sasterawan Negara, Sejarah, Falsafah, Ekonomi, Geopolitik, Kecerdasan Buatan (AI), Teknologi dan STEM. (Syarat wajib sebelum baki baucar boleh digunakan untuk buku lain)
  6. Selepas memilih Judul Khas, baki kredit baucar boleh digunakan untuk membeli buku-buku lain dalam platform Book Capital yang menawarkan lebih 950,000 judul.
  7. Pilih kaedah penghantaran dan sahkan pembelian.
  8. Buku akan dihantar ke alamat pelajar dalam tempoh 24 hingga 48 jam selepas pengesahan pembayaran.

Cara Tebus Baucar Buku MADANI 2026 (Mahasiswa IPT)

Mahasiswa IPT menebus baucar melalui platform MySiswaPlace yang diuruskan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT). Caranya adalah seperti berikut:

  1. Layari portal rasmi MySiswaPlace di https://mysiswaplace.my
  2. Log masuk menggunakan ID pelajar dan kata laluan.
  3. Semak status kelayakan dalam portal tersebut.
  4. Sekiranya layak, jana kod baucar RM100.
  5. Pilih buku atau bahan bacaan yang dikehendaki dalam platform MySiswaPlace yang menawarkan lebih 1 juta judul bahan bacaan termasuk buku fizikal dan e-buku daripada lebih 250 rakan niaga.
  6. Gunakan kredit baucar untuk membuat pembayaran semasa proses checkout.

Nota Penting: Bagi mahasiswa IPT, baucar yang telah ditebus hanya sah selama 7 hari sahaja untuk melaksanakan pembelian. Selepas 7 hari, nilai baucar yang tidak digunakan akan luput secara automatik. Jangan tangguhkan pembelian selepas baucar ditebus.

Tarikh Penting Baucar Buku MADANI 2026

Berikut adalah tarikh-tarikh penting yang perlu diketahui:

  1. Tarikh Mula Penebusan — 1 Julai 2026.
  2. Tarikh Akhir Penebusan — 3 September 2026.

Masalah Lazim dan Cara Selesaikan

Berikut adalah masalah lazim yang mungkin dihadapi semasa proses penebusan:

  1. ID DELIMa tidak diiktiraf — Hubungi Helpdesk DELIMa melalui e-mel di dhd@moe-dl.edu.my untuk pengesahan akaun.
  2. Kredit baucar tidak dipaparkan — Log keluar dan log masuk semula. Sekiranya masalah berterusan, klik Help? kemudian Tiket Baru dalam platform Book Capital untuk membuka tiket sokongan.
  3. Status kelayakan tidak muncul (mahasiswa IPT) — Hubungi pejabat Hal Ehwal Pelajar (HEP) di institusi untuk memastikan data telah dikemaskini dalam sistem KPT.
  4. Buku melebihi nilai RM100 — Pelajar boleh menambah bayaran menggunakan kad kredit atau debit peribadi untuk menampung perbezaan harga.

Untuk pertanyaan lanjut berkaitan Baucar Buku MADANI 2026 bagi pelajar sekolah menengah, hubungi pasukan sokongan Book Capital melalui platform https://delima.bookcapital.com.my. Bagi mahasiswa IPT, hubungi MySiswaPlace melalui e-mel di hello@mysiswaplace.my.

Semoga dengan artikel cara tebus Baucar Buku MADANI 2026 ini dapat membantu anda untuk menebus baucar dengan mudah dan tidak terlepas peluang mendapatkan bahan bacaan bernilai RM100 secara percuma.

Artikel lain: